Thursday, December 9, 2010

TRANSFORMASI POLITIK

Tumpu agenda transformasi politik – Hisham

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Setiap pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu memberi tumpuan kepada agenda transformasi politik seperti yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada membangkitkan isu-isu kecil untuk keuntungan peribadi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebarang permasalahan atau isu-isu yang terbuku di hati seharusnya disuarakan melalui saluran yang betul seperti dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN.

“Saya nak nasihatkan pemimpin BN, sekiranya terdapat masalah atau isu-isu terbuku bawalah dalam mesyuarat BN. Salurannya ada dan ia wujud daripada dahulu lagi.

“Sekiranya diluahkan menggunakan saluran lain ia akan menjadi tanda tanya apa sebenarnya matlamat kita sebagai pemimpin sekiranya saluran sedia ada tidak digunakan,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas ucapan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada Konvensyen BN, Ahad lalu yang antaranya menuntut supaya pemimpin UMNO jangan menggunakan perkataan ketuanan Melayu kerana ia berkaitan dengan konsep hamba dan tuan.

Soi Lek turut meminta supaya sebarang polisi yang dibuat tidak diumum dalam Majlis Tertinggi UMNO atau Perhimpunan Agung UMNO dan UMNO tidak bersikap seperti ‘big brother’ kerana dalan BN tidak ada abang sulung atau adik bongsu.

Hishammuddin berkata, beliau ada mendengar rungutan mengenai rasa tidak puas hati beberapa pemimpin terhadap kenyataan Soi Lek dan ahli MCA lain yang berucap pada konvensyen BN baru-baru ini.

“Apa yang penting bagaimana orang di luar sana melihat sama ada kita serius atau tidak untuk kehadapan, bukan personaliti dan kenyataan-kenyataan tertentu yang akan menentukan masa depan dan hala tuju BN dalam konteks transformasi politik yang sedang berjalan,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, jenayah transnasional akan menjadi ancaman besar bukan sahaja kepada Malaysia malah negara serantau sekiranya tidak dilihat secara serius dan bekerjasama rapat dengan negara jiran dalam menanganinya.

“Oleh itu, agenda penting dalam konteks keselamatan serantau dan negara tahun depan ialah bagaimana kita dapat merealisasikan usaha mewujudkan satu pusat yang akan melihat kepada jenayah transnasional khususnya di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (Lisram).

“Ini juga antara sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Dalam Negeri bagi tahun depan kerana semua KPI yang diumumkan untuk tahun ini, alhamdulillah telah direalisasikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment