Thursday, December 9, 2010

TRANSFORMASI POLITIK

Tumpu agenda transformasi politik – Hisham

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Setiap pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu memberi tumpuan kepada agenda transformasi politik seperti yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada membangkitkan isu-isu kecil untuk keuntungan peribadi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebarang permasalahan atau isu-isu yang terbuku di hati seharusnya disuarakan melalui saluran yang betul seperti dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN.

“Saya nak nasihatkan pemimpin BN, sekiranya terdapat masalah atau isu-isu terbuku bawalah dalam mesyuarat BN. Salurannya ada dan ia wujud daripada dahulu lagi.

“Sekiranya diluahkan menggunakan saluran lain ia akan menjadi tanda tanya apa sebenarnya matlamat kita sebagai pemimpin sekiranya saluran sedia ada tidak digunakan,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas ucapan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada Konvensyen BN, Ahad lalu yang antaranya menuntut supaya pemimpin UMNO jangan menggunakan perkataan ketuanan Melayu kerana ia berkaitan dengan konsep hamba dan tuan.

Soi Lek turut meminta supaya sebarang polisi yang dibuat tidak diumum dalam Majlis Tertinggi UMNO atau Perhimpunan Agung UMNO dan UMNO tidak bersikap seperti ‘big brother’ kerana dalan BN tidak ada abang sulung atau adik bongsu.

Hishammuddin berkata, beliau ada mendengar rungutan mengenai rasa tidak puas hati beberapa pemimpin terhadap kenyataan Soi Lek dan ahli MCA lain yang berucap pada konvensyen BN baru-baru ini.

“Apa yang penting bagaimana orang di luar sana melihat sama ada kita serius atau tidak untuk kehadapan, bukan personaliti dan kenyataan-kenyataan tertentu yang akan menentukan masa depan dan hala tuju BN dalam konteks transformasi politik yang sedang berjalan,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, jenayah transnasional akan menjadi ancaman besar bukan sahaja kepada Malaysia malah negara serantau sekiranya tidak dilihat secara serius dan bekerjasama rapat dengan negara jiran dalam menanganinya.

“Oleh itu, agenda penting dalam konteks keselamatan serantau dan negara tahun depan ialah bagaimana kita dapat merealisasikan usaha mewujudkan satu pusat yang akan melihat kepada jenayah transnasional khususnya di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (Lisram).

“Ini juga antara sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Dalam Negeri bagi tahun depan kerana semua KPI yang diumumkan untuk tahun ini, alhamdulillah telah direalisasikan,” katanya.

'Politik sesumpah Pas kian terserlah'

'Politik sesumpah Pas kian terserlah'

Oleh MOHD. ZAAIN MD. ZIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Pendirian barisan pemimpin tertinggi Pas yang bertentangan antara satu sama lain mengenai beberapa isu sejak kebelakangan ini mencerminkan wajah sebenar parti itu yang mengamalkan politik 'sesumpah'.

Bekas Felo Pusat Syariah Undang- Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, pendirian berbeza merupakan perkara biasa bagi sesebuah organisasi, lebih-lebih lagi dalam sebuah parti politik yang mendukung demokrasi.

Bagaimanapun katanya, sekiranya percanggahan tersebut melibatkan perkara-perkara penting termasuk asas perjuangan parti sendiri, ia jelas menunjukkan Pas tidak mempunyai prinsip yang jelas seperti yang diuar- uarkannya selama ini.

"Perbezaan pendapat pemimpin tertinggi Pas mengenai cadangan Anwar Ibrahim untuk melantik Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri ibarat membuka pekung di dada kerana ia jelas memperlihatkan mereka tidak sehaluan.

"Selain itu, pendirian berubah-berubah dalam beberapa isu terdahulu yang membabitkan prinsip parti itu membuktikan teori saya bahawa pendekatan Pas semakin mirip dengan 'sesumpah' yang boleh bertukar warna," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersetuju dengan cadangan Anwar Ibrahim untuk melantik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang diberi mandat oleh rakyat bagi menubuhkan kerajaan pada masa depan.

Persetujuan itu bagaimanapun bukannya sebulat suara oleh barisan pemimpin tertinggi Pas yang lain apabila ada yang mendakwa tidak tahu menahu mengenainya, termasuk Presiden parti itu sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yaakob mempertahankan Nik Abdul Aziz apabila menyatakan persetujuan beliau meskipun Ketuanya, Datuk Harun Taib tidak bersetuju.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Bahagian Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Zaini Abu Bakar berkata, pendirian berbeza barisan pemimpin tertinggi Pas bukan sahaja menonjolkan kelemahan parti, malah mengelirukan penyokong sendiri.

Kredibiliti parti itu tambahnya, semakin diragui apabila Mursyidul Amnya sendiri mengeluarkan beberapa kenyataan yang tidak konsisten mengenai satu isu yang sama.

"Beliau kini kerap mengeluarkan pendapat yang berbeza mengikut keadaan. Jika hari ini, di hadapan orang ini, beliau berkata begini. Esoknya, di hadapan yang lain, beliau berkata begitu pula.

"Beliau juga dilihat kerap tidak bersetuju dengan Presiden Pas dan barisan pemimpin lain dalam beberapa isu. Kalau berterusan, bagaimana orang bawah hendak yakin dengan kepimpinan mereka," katanya.

Monday, January 11, 2010

UMNO JUARA RAKYAT.......................

ARKIB : 10/01/2010

Tuduh UMNO pelampau nafi sejarah negara

HULU SELANGOR 9 Jan. - Mana-mana pihak yang menuduh UMNO sebuah parti perkauman dan pelampau adalah golongan yang menafikan catatan sejarah negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, UMNO juga tidak pernah berniat untuk merampas kuasa daripada kaum lain sebaliknya telah menunjangi dasar perkongsian kuasa sejak kemerdekaan negara.
Sedangkan katanya, pada masa itu orang Melayu boleh menubuhkan kerajaan tanpa penglibatan kaum lain namun ia tidak menjadi pilihan pemimpin Melayu pada masa itu.
Katanya, begitu juga dengan peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 apabila UMNO mengambil alih kuasa tetapi tidak menubuhkan kerajaan tentera.
"UMNO tidak rampas kuasa sebaliknya mentadbir keadaan dan bila keadaan sudah tenteram, kita kembali dan kita kembangkan Perikatan dengan menubuhkan Barisan Nasional (BN).
"Tetapi kalau di negara lain, mungkin kaum majoriti akan cuba lakukan perkara sedemikian rupa jika ada peluang," katanya.
Beliau berucap demikian sewaktu melancarkan Program Juara Rakyat di Tapak Ekspo Bandar Bukit Sentosa yang dihadiri oleh kira-kira 20,000 rakyat jelata, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Perdana Menteri melancarkan logo dan lagu UMNO Juara Rakyat, menyampaikan anugerah cemerlang pelajaran, menyampaikan bantuan keluarga miskin dan orang kurang upaya (OKU) serta menerima borang keahlian baru UMNO.
Terdahulu, beliau melawat rumah empat keluarga yang kurang bernasib baik di Pangsapuri Seri Anggerik.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata, parti itu sentiasa berpegang pada prinsip berlaku adil kepada semua rakyat selaras dengan peringatan Allah melalui ayat 8, Surah al-Maidah dan ayat 58 surah an-Nisa.
Katanya, melalui dua ayat suci itu Allah memerintahkan kalau memimpin dan menghukum mestilah berlaku adil sesama manusia.
"Selain mentaati perintah Allah, UMNO sentiasa menghormati peranan dan kedudukan kaum lain dalam negara ini.
"Sehingga hari ini kita pertahankan semua kaum lain dan pada masa yang sama tetap memperjuangkan nasib orang Melayu yang masih ketinggalan," katanya