Friday, April 10, 2009

LIDAH TIDAK BERTULANG

Kita mungkin pernah mendengar ungkapan-ungkapan sepert 'lidah tidak bertulang' atau lidah itu lebih tajam daripada pedang. Daripada ungkapan-ungkapan itu nyatalah tugas lidah atau tutur kata amat besar dalam hidup manusia. Kesan terlanjur cakap tidak kurang yang tergadai maruah dan kerana mulut atau tutur kata juga menjadikan badan binasa.

Jika kita merenung tentang kejadian alam ciptaan Allah s.w.t nyatalah terdapat pelbagai keanehan dan perkara-perkara pelik yang dapat kita saksikan yang mana itu semua sebagai tanda tentang keagungan dan keesaaan Allah s.w.t.

Di antara keanehan keanehan itulah kita temui lidah. Ia adalah daging berbentuk kecil dan lembut yang terlindung di dalam mulut. Lidah juga termasuk daripada anugerah Allah Yang Maha Besar yang amat mustahak sebagai penghubung antara satu sama lain, menerusi percakapan mahu pun untuk mencapai keredaan Tuhan.

Lidah jugalah yang boleh menyebabkan manusia itu terjerumus ke dalam api neraka.
Berhati-hati
Oleh kerana lidah boleh membawa kepada perkara yang baik dan buruk, maka kita hendaklah berhati-hati dalam menggunakan lidah. Dalam hubungan lain, kita hendaklah berhati-hati apabila bertutur. Kesan tersalah cakap boleh membawa sakit hati kepada orang lain. Tidak kurang pula yang membawa kesusahan dan kerugian.

Oleh itu, sebaik-baik cara mengawal diri daripada perkara-perkara yang tidak diingini ialah dengan diam. Diam dalam erti kata tidak bercakap dalam perkara yang sia - sia dan tidak baik.
Sehubungan dengan ini Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud.

"Manusia itu ada tiga macam (jenis).

Pertama: Yang mendapat pahala.

Kedua: Yang selamat daripada dosa.

Ketiga: Yang binasa.

Orang yang mendapat pahala ialah orang yang sentiasa mengingati Allah, berzikir dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang binasa ialah orang yang sentiasa melakukan perkara-perkara maksiat."
Orang yang beriman dan bijaksana selalunya tidak berkata atau bercakap sesuatu yang tidak berfaedah. Mereka seperti ini menjaga setiap tutur kata dan percakapan. Mereka mengelakkan daripada berkata sesuatu yang tidak berfaedah atau sia-sia apatah lagi mengumpat keji atau mencaci sesama manusia. Sesuai dengan Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Apabila kamu melihat orang mukmin itu pendiam dan mempunyai kehormatan diri, maka dekatilah dia, kerana dia akan mengajarkan kau ilmu hikmah."
Nyatalah orang yang beriman akan menggunakan lidah dan bercakap hanya untuk perkara-perkara yang berfaedah. Setiap patah yang hendak diucapkan difikir semasak-masaknya supaya setiap patah yang ditutur itu berfaedah dan mendapat pahala. Kita juga dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya, Kerana, semakin banyak kita bercakap, semakin banyaklah kesilapan. Orang-orang munafiq pula akan bercakap apa sahaja tanpa memikirkannya terlebih dahulu.

4 comments:

  1. Salam...kerana lidah tidak bertulang la manusia senang berkata2. Orang kata berkata2 bukan susah gerakkan bibir sahaja...jadi setiap dari kita bertugas untuk jaga lidah kita sendiri....

    ReplyDelete
  2. Kita gunalah lidah kita ni sebaik mungkin, kalau orang dok kutuk kita, bangsa kita, keturunan kita, makan eloklah sekali sekala guna lidah kutuk dia orang balik balik demi kebaikan umat melayu.

    ReplyDelete
  3. menggoreng serta menipu orang ni yang selalu merosakan

    ReplyDelete
  4. Salam, teruskan menulis dan harap dpt bertemu pada pertemuan blogger pahang nanti ~ bERANIKAN hATI

    ReplyDelete