Wednesday, August 10, 2011

terima kasih kerajaan BN...

Pemberian bonus bukti kerajaan prihatin - NGO
KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik pemberian bonus dan bayaran khas kepada kakitangan awam serta pesara dengan menyifatkan ia sebagai bukti kerajaan prihatin dalam membantu meringankan beban rakyat.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Lok Yim Pheng berkata, usaha kerajaan itu amat dihargai selain berharap jumlah pemberian itu dapat dinaikkan lagi selepas musim perayaan ini.

"Penambahan jumlah bonus ini adalah berdasarkan produktiviti dan pengiktirafan kepada mereka yang terus dan pernah berjasa dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor awam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas kepada pesara kerajaan, semalam.

Bonus itu sebagai tanda menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata, bayaran khas itu membuktikan kerajaan masih prihatin terhadap pesara-pesara yang dahulunya pernah berkorban tenaga dan idea dalam proses pembinaan negara.

"Bagaimanapun, pesara kerajaan dinasihatkan supaya menggunakan bonus tersebut secara cermat dengan melakukan perkara yang berfaedah.

"Penjawat awam yang masih berkhidmat pula harus tekun bekerja dan taat kepada kerajaan supaya dapat melaksanakan hasil yang boleh diterjemahkan untuk kejayaan negara," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, pihaknya turut berharap agar kerajaan dapat memberi insentif kepada bekas kakitangan kerajaan yang bersara tanpa pencen.

"Sekiranya kerajaan bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan adalah baik juga sekiranya insentif itu turut diberikan kepada bekas kakitangan kerajaan yang bersara tanpa pencen.

"Ia adalah wajar kerana kebanyakan mereka adalah terdiri daripada bekas-bekas tentera yang dahulunya pernah berbakti kepada negara," katanya.

Presiden Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Peberkas), Datuk Abdul Rahman Manan pula berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat meningkatkan jumlah pemberian minimum bonus tersebut daripada RM500 kepada RM1,000 ekoran harga barang yang semakin meningkat.

"Jumlah itu adalah wajar kerana harga barang di pasaran semakin meningkat selain dapat membantu pesara yang perlu membeli barangan keperluan bagi menyambut kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.