Tuesday, April 12, 2011

Falsafah pendidikan berterusan walaupun menteri bertukar

Falsafah pendidikan berterusan walaupun menteri bertukar

KUALA LUMPUR 7 April - Pelaksanaan falsafah pendidikan negara adalah bersifat berterusan dan mempunyai kesinambungan walaupun menteri yang menerajui kementerian berkaitan pelajaran silih berganti.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, sebagai contoh pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), adalah kesinambungan daripada kepimpinan sebelum ini.

''Dalam konteks kesinambungan, falsafah pendidikan negara adalah sesuatu yang dituruti oleh mana-mana menteri. Saya ingin memberi jaminan bahawa apa yang dilakukan khususnya KSSR adalah kesinambungan daripada kepimpinan dahulu.

''Dulu sudah ada idea untuk kita mengubah semula KSSR dan apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memegang jawatan Menteri Pelajaran, ia ada kesinambungannya.

''Walaupun begitu, kita buat penambahbaikan terhadap apa yang dilakukan dahulu. Contohnya dahulu pelaksanaan 3M iaitu Membaca, Menulis, Mengira, dalam KSSR kita masukkan satu komponen iaitu menaakul," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) yang ingin tahu jaminan kerajaan untuk tidak menukar sistem pendidikan yang digunakan sekarang walaupun berlakunya pertukaran Menteri Pelajaran.

Menjawab soalan asal Ismail mengenai perbezaan utama yang diterapkan dalam peralihan sistem pendidikan sekolah rendah daripada sistem KSSR kepada sistem sekarang dan bagaimana ia akan dapat mencapai matlamat pendidikan negara, katanya, kementerian sentiasa memastikan pendidikan negara relevan dengan tuntutan semasa dan masa depan serta menepati keperluan pembangunan pendidikan negara.

Jelasnya, sebagai langkah untuk memantapkan sistem pendidikan, kementerian melaksanakan transformasi kurikulum di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah.

''Pelaksanaan KSSR adalah melalui penambahbaikan yang dilakukan melalui pengukuhan kurikulum sedia ada dan melibatkan perubahan dalam bentuk kandungan, penjadualan waktu pembelajaran serta penekanan kepada pendekatan pembelajaran yang lebih menyeronokkan.

''Ini selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang mengatakan bahawa usaha penambahbaikan berterusan hendaklah dilakukan bagi menghasilkan individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada tuhan.

''Menerusi transformasi ini, elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan serta teknologi maklumat dan komunikasi diajar secara eksplisit kepada murid. Ini adalah bertujuan untuk membentuk modal insan yang seimbang, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi," tambahnya.