Tuesday, September 8, 2009

UMNO TIDAK AKAN GADAI MARUAH.......

PM: UMNO tidak akan gadai maruah

KUALA KRAI 7 Sept. – UMNO tidak akan menggadai maruahnya walaupun ia bersedia untuk bersama-sama dengan Pas bagi membincangkan perkara yang menyentuh kepentingan ummah dan Islam di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengulangi kesanggupannya berunding dengan Pas berkata, ia dilakukan semata-mata untuk melihat nasib umat Islam negara ini terus dibela dan dipertingkatkan.
Namun tegasnya, dalam usaha ke arah itu beliau tidak rela UMNO dan mereka yang menyokong parti itu dihina, dipersoal dan diperkecilkan oleh mana-mana pihak.
“Saya sanggup berunding dengan Pas untuk kepentingan Islam tetapi tidak rela UMNO dihina oleh sesiapa sahaja. Kalau nak buat, buat cara baik, jangan perkecil dan pertikai akidah kita, jangan kata kita luaran saja dalam tidak, sebab ini akan menimbulkan kekalutan dalam masyarakat, yang penting kita buat dengan baik.
“Penilaian sama ada yang kita buat diterima atau tidak, itu bukan kerja kita, kerja Allah. Jadi yang penting kita beri tumpuan pada cara UMNO untuk membangunkan umat Islam dan pada masa sama kita tidak lupa untuk berlaku adil kepada bukan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Bantuan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai di sini hari ini.
Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dan pemimpin UMNO negeri. Ia turut disertai kira-kira 4,000 rakyat dari kawasan ini.
Pada majlis tersebut, beliau bersama Rosmah turut menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal dan golongan yang memerlukan.
Sebelum ini, pemimpin pembangkang terutama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertikaikan UMNO dan mendakwa parti itu bukan Islam yang tulen kerana memisahkan agama dan politik malah penyokong UMNO tidak akan masuk syurga.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata, dakwaan yang dilemparkan oleh pemimpin pembangkang itu tidak benar sama sekali kerana perjuangan parti itu sejak dahulu lagi selaras dengan tuntutan agama.
“Memang benar sejak dahulu lagi apa yang kita lakukan ini selaras dengan tuntutan agama sebab peristiwa yang amat besar apabila mencapai kemerdekaan ialah menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Cuba bayangkan kalau kita tidak merdeka, kita tidak mungkin dapat jadikan Islam sebagai agama Persekutuan, jika Islam tidak menjadi agama Persekutuan tidak mungkin kita mendapat peruntukan yang besar.
“Setiap institusi Islam yang besar, jasa siapa, jasa UMNO. Lihat sistem persekolahan Islam, Tabung Haji, sistem mahkamah syariah, undang-undang keluarga, jasa siapa. Inilah jasa UMNO untuk membangunkan umat Islam negara ini,” tegasnya.
Perdana Menteri berkata, hala tuju UMNO adalah untuk memperjuangkan Islam yang sebenar berdasarkan al-Quran dan hadis serta berusaha mengukuhkan akidah umat Islam.
“Kita mahu jadikan negara kita terdiri daripada umat Islam yang progresif dan berjaya, semuanya ini kita berpandu pada slogan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
“Konsep dan gagasan ini merupakan pelengkap kepada perjuangan yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu, sama ada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga pemimpin sebelum itu. Semuanya ingin kepada pembentukan satu negara yang bersatu padu,” jelasnya.


**KEPADA PEMIMPIN2 PAS .... FIKIR2 KANLAH