Friday, August 14, 2009

Baca lah untuk renungan....


Jangan sesali apa yang sudah pergi. Jangan tangisi apa yang sudah tiada. Tetapi bangkitlah dan bina kembali apa yang telah hilang dan pergi.

Jika anda bekerja semata-mata untuk wang, anda tidak akan menjadi kaya kerananya. Tetapi jika anda menyintai pekerjaan yang anda lakukan itu, kejayaan akan menjadi milik anda ~ Ray Kroc (Pengasas McDonalds)

Kita sering nampak derita hari ini, tapi kita jarang ingat kebahagiaan untuk esok hari, jadi belajar lah untuk menghargai apa yg kita miliki hari ini, kerana kita takkan dapat mencapai penghargaan untuk esoknya jika semuanya telah tiada…..

Komunikasi adalah sesuatu yg mudah, susahnya ialah apabila kita tidak menyebutnya dengan perkataan yg mudah.~T.S Matthews

Masa lalu adalah seperti melihat dari tingkap kaca yang berdebu, segalanya nampak senyap dan tidak pasti.

Mereka yang berjaya bukanlah mereka yang gagal dalam mencuba, bukan juga mereka yang sering gagal tetapi mereka yang tidak pernah gagal mencuba dan terus mencuba sehingga kejayaan yang dikecapi.

Anda mungkin ditipu jika terlalu mempercayai tetapi hidup anda akan terseksa jika tidak cukup mempercayai ~ Frank Crane

Ketika kamu melontarkan sesuatu dalam kemarahan, kata -katamu itu meninggalkan bekas seperti lubang di hati orang lain. Kamu dapat menusukkan pisau pada seseorang, lalu mencabut pisau itu. Tetapi, tidak peduli berapa kali kamu meminta maaf, luka itu akan tetap ada. Dan, luka kerana kata - kata adalah sama buruknya dengan luka berdarah.

HATI-HATI H1NI...........

Dedah lokasi panas H1N1

Oleh LIAU PEI WEN dan ANDIKA WAHABpengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Kementerian Kesihatan diminta mendedahkan lokasi-lokasi panas kes selesema babi atau influenza A (H1N1) terutama kawasan yang membabitkan kematian atau mempunyai kadar jangkitan tinggi supaya orang ramai lebih berwaspada.
Melalui pendedahan itu, orang ramai boleh mengelakkan kawasan tersebut sama seperti larangan yang dikenakan oleh kerajaan terhadap lawatan ke negara-negara yang dilanda wabak itu sebelum ini.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah berkata, kerajaan perlu bersikap lebih terbuka dengan mendedahkan lokasi-lokasi yang mencatatkan jumlah kes jangkitan dan kematian tinggi akibat wabak H1N1.
“Maklumat mengenai lokasi-lokasi tersebut akan memberi mesej dan panduan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada selain meningkatkan tahap berjaga-jaga apabila berada di kawasan tersebut.
“Sebagai contoh, jika seseorang mahu mengunjungi mana-mana kawasan yang telah diklasifikasikan sebagai berisiko H1N1, maka mereka secara sendirinya akan meningkatkan tahap berjaga-jaga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Muhammad Shaani, kaedah melabelkan lokasi-lokasi panas H1N1 perlu dilakukan mengikut kadar jangkitan dan kes kematian akibat wabak itu di sesuatu kawasan.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman juga bersetuju bahawa Kementerian Kesihatan perlu memaklumkan kepada orang ramai tentang tempat-tempat yang berisiko tinggi berlaku penularan wabak H1N1.
“Kementerian tidak perlu mendedahkan maklumat lokasi panas tersebut secara terperinci seperti kawasan perumahan atau kampung tertentu sebaliknya melabelkan lokasi panas mengikut negeri, bahagian atau daerah,” katanya.
Selain itu, pihak PPIM juga mencadangkan kementerian membeli sejenis alat pengesan virus H1N1 yang dikatakan dijual di luar negara secara pukal untuk dibekalkan kepada pusat perubatan termasuk klinik-klinik swasta tempatan.
“Dengan adanya alat itu, lebih ramai pegawai perubatan dapat melakukan kerja-kerja pengesanan virus H1N1 di kalangan pesakit mereka dengan cepat dan praktikal dalam usaha menangani penularan wabak H1N1,” katanya.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George pula berkata, langkah mendedahkan lokasi panas H1N1 itu perlu memandangkan kes kematian akibat wabak itu di negara ini semakin meningkat sehingga mencecah lebih 50 orang setakat ini.
“Kawasan atau daerah di negeri yang mencatatkan kes H1N1 tinggi perlu didedahkan kepada orang ramai sama seperti kaedah yang digunakan kerajaan dalam menangani wabak denggi selama ini,” katanya.
Jacob berkata, tahap keseriusan H1N1 dalam kawasan panas itu boleh diklasifikasikan menggunakan warna seperti hitam untuk lokasi berisiko tinggi, putih berisiko sederhana dan merah berisiko rendah.
“Keadaan ini akan menyebabkan masyarakat atau institusi di sekitar lokasi itu lebih sedar akan bahaya wabak H1N1 sekali gus mengambil langkah lebih ketat untuk mengelak penularan wabak itu seperti membatalkan semua majlis terbuka,” ujarnya.
Naib Presiden Persatuan Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia (PPPM), M. Subramaniam berkata, kerajaan perlu mendedahkan lokasi panas H1N1 di seluruh negara agar masyarakat boleh mengambil langkah-langkah pencegahan yang sepatutnya.
“Katakanlah kawasan panas itu terletak di Alor Setar, Johor Bahru atau Pulau Pinang, maka hospital-hospital yang terbabit di sana boleh bersiap sedia dari segi rawatan antivirus dan penutup-penutup mulut dan hidung yang mencukupi,” jelas beliau.
Tambahnya, PPPM mahu Kementerian Kesihatan berbuat demikian bukan bertujuan untuk menimbulkan rasa panik dalam kalangan rakyat sebaliknya hendak meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap wabak H1N1.
“Selain itu, kerajaan perlu meningkatkan kekerapan hebahan maklumat berkaitan H1N1 di media massa kerana kita dilihat masih ketinggalan berbanding negara-negara luar dalam aspek ini,” ujar beliau.


***Doa agar ujian ini berakhir dan didoakan agar kita semua di dalam keadaan selamat dari wabak ini..insyaAllah**Sesungguhnya sesuatu yang terjadi adalah ujian Allah untuk hambaNya...